Saya sedar, segala yang dikurniakan di bumi ini adalah semata-mata pinjaman Allah kepada saya. Allah boleh mengambil semula setiap yang saya nikmati sekarang pada bila-bila masa dikehendakinya, dalam sekelip mata. Dikala ujian melanda, dikala Allah menarik beberapa kesenangan yang telah dipinjamkan, janganlah bersedih. Segala yang berlaku adalah yang terbaik. Allah mencintai setiap makhluknya, Allah tidak menguji manusia tanpa sebab.
Kadang-kadang manusia terlalu lalai dengan keenakan dunia yang fana sehingga terlupa pada pencipta yang mengurniakan keenakan dunia tersebut. Maka Allah turunkan sedikit ujian supaya kita kembali ke jalanNya. Ketika kita terlalu selesa dengan kedudukan kita, ketika kita leka dan ketika kita terlalu taksub dengan cinta dunia, manusia yang benar-benar beriman sahaja mampu mengingati dan bersyukur pada Allah dengan segala nikmat tersebut. Malangnya, kebanyakkan manusia hanya mengingati Allah ketika mereka diuji, setelah Allah keluarkannya dari ujian tersebut, mereka mula leka dan lupa kepadaNya. Begitu juga apabila manusia menjumpai cinta hati mereka, apabila leka dan terlalu enak bercinta, manusia biasanya meletakkan cinta pada manusia tersebut melebihi cinta yang hakiki.
Allah boleh jadi jeles juga sebenarnya, ketika terlalu taksub dengan cinta manusia, Allah mampu menarik semula nikmat tersebut pada bila-bila masa. Ketika ini berlaku, ingatlah kawan-kawanku, Allah lebih mengetahui. Bersyukurlah, Allah menyangi kita, Allah menarik kita semula kepadaNya untuk kembali kepada fitrah dan jalan yang betul. Allah menyelamatkan kita daripada kancah maksiat, memelihara kita daripada melakukan kesilapan yang lebih besar, Allah menarik kita ke jalan yang lurus semula ketika kita mula menyimpang, syukurlah, Allah memilih kita untuk diselamatkan daripada kesesatan, Allah menyintai kita.
Cinta kita walau ketika suka, duka, sakit, senang sentiasa hanya untukNya. Binalah sebuah percintaan yang berlandaskan cinta kepadaNya. Perhubungan seperti iItulah yang lebih diberkati dan lebih dirahmati. Jika kita berjanji untuk sehidup semati dengan pasangan kita, ingatlah, janji kita tiada nilainya bila dibandingkan dengan kuasa Allah. Janji manusia hanyalah janji kosong jika tiada keberkatan daripada Allah. Maka, berserahlah kepada Allah setiap masa. Jika kita terlalu berpegang kepada janji kita dengan pasangan kita, kita sendiri yang mencari sakit sebenarnya. Manusia yang berjanji untuk menjaga kita, mampukah kita percaya sepenuhnya janji tersebut, sedangkan si pemberi janji itu juga bergantung dengan Allah?
Manusia dikurniakan akal, nikmat yang paling berharga dan nikmat yang paling ketara untuk membezakan antara manusia dan haiwan. Gunakanlah akal yang dikurniakan, berusahalah, berdoalah dan berserahlah kepada Allah setiap masa dalam apa jua yang kita lakukan. Allah menjanjikan berita gembira kepada hambanya yang bersabar. Kadang-kadang kita sudah susah payah berusaha, rasa bagaikan terlalu lama Allah menguji kita, dimana kenikmatan dan berita gembira yang dijanjikan? Yakinlah kawan-kawanku, janji Allah itu janji yang paling agung. Jangan ragu-ragu denganNya. Kadang-kadang Allah melengahkan nikmat untuk kita kerana Allah sayangkan kita, ketika kita dilanda ujian, kita begitu dekat denganNya. Ketika menerima nikmat tersebut, ada kemungkinan kita akan lupa kepadaNya. Lebih lama tempoh ujian, lebih susah dan perit ujian kita, lebih indahlah nikmat yang bakal diterima, percayalah pada Allah. Jika bukan di dunia keindahan tersebut, yakinlah denganNya, di syurgalah ganjaran kita, ganjaran terbaik dari Allah.
No comments:
Post a Comment